Tun M Kata Masih Sayang UMNO, Sedia Kembali Kepada Parti

Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memegang jawatan itu selama 22 tahun mengakui dirinya masih menyayangi parti berkenaan.

Perkara itu dinyatakan bekas Perdana Menteri itu menerusi Wawancara Bersama
Tun M oleh Sinar Harian dan dikendalikan oleh moderator Tan Sri Johan Jaaffar.

“Sayang pada parti ya, bukan pemimpin,” kata Dr Mahathir yang kedengaran dengan nada sebak.

Lebih lanjut, Dr Mahathir yang kini bersama PEJUANG selepas meninggalkan BERSATU mengakui dirinya boleh kembali semula kepda UMNO sekiranya parti itu berpegang semula kepada dasar awal penubuhannya iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

”Kalau UMNO pegang balik kepada dasar awal, berjuang utk bangsa, negara dan agama, saya boleh kembali kepada UMNO tetapi orang yang penyangak semua, minta maaflah tak boleh kerjasama dengan mereka.

“Saya sayang pada UMNO, 22 tahun jadi Presiden UMNO,” katanya.

Untuk rekod, kritikan Dr Mahathir terhadap UMNO memuncak beberapa tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila tidak senada dengan Datuk Seri Najib Razak yang menerajui kerajaan ketika itu.

Malah pernah bertindak menyertai himpunan pembangkang untuk menunjukkan rasa tidak setujunya terhadap kerajaan meskipun ketika itu masih bersama UMNO.

Dr Mahathir kemudiannya menyertai Pakatan Harapan (PH) dan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas sekutu lamanya dan percaturan itu membuahkan hasil apabila gagasan pembangkang menang PRU14.

Kurang dua tahun, kerajaan PH runtuh akibat persengketaan dalaman, antaranya membabitkan soal penyerahan kuasa Perdana Menteri antara Dr Mahathir dan Anwar.

Kini, selain UMNO, Dr Mahathir mengkritik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya gagal mentadbir negara, lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19 melanda.

Dalam wawancara yang sama, Dr Mahathir mendakwa Muhyiddin lebih menjurus kepada mahu memegang jawatan sahaja, malah sengaja mengisytiharkan darurat setelah merasakan kedudukannya rapuh kerana hanya memiliki dua atau tiga majoriti sokongan.

Menurut Dr Mahathir, pengisytiharan darurat yang dibuat oleh Muhyiddin adalah dahsyat kerana ia tidak berlaku sebelum ini, mengakibatkan ekonomi negara merosot teruk dan bertambah parah.

Katanya, Muhyiddin sepatutnya tubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Razak.

“Kalau Muhyiddin nak jadi perdana menteri, kita guna penasihat yang ada pengalaman, bukan orang parti jadi penasihat.

“Ini sikap yang ada pada Muhyiddin,” tambah beliau.

BBerkaitan

Latest articles