Tak Timbul Dah Isu Tun M Jadi PM Selepas PRU15

Tun Dr Mahathir Mohamad boleh memainkan peranannya sebagai menteri mentor atau menteri kanan jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya yang akan datang.

Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad berkata gabungan pembangkang telah bersetuju untuk menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, sekaligus tidak lagi timbul soal Dr Mahathir diangkat sekali lagi ke jawatan tersebut.

“Idea bahawa Dr Mahathir boleh menjadi perdana menteri sementara tidak lagi muncul namun dia boleh main peranan jika dia mahu, jika kami menang.

“Ini boleh menjadi formula menang-menang dalam PH untuk hadapi PRU15,” katanya seperti dipetik The Malaysian Insight hari ini.

Sebelum ini PKR tegas menolak Dr Mahathir sebagai calon PM jika PH menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Malah hubungan antara Anwar dan Dr Mahathir masih dingin sehingga kini.

Sementara itu, Dzulkefly menegaskan PH hanya boleh kembali sebagai kerajaan menerusi “penyelarasan besar-besaran” melibatkan semua pembangkang, iaitu WARISAN, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

“Bergantung pada kelemahan lawan sahaja tidak cukup. Strategi kami mesti berdasarkan kekuatan sendiri dan kami sudah tentu tidak boleh pandang rendah PN, BN atau Muafakat Nasional walaupun mereka berpecah sebelum PRU15,” katanya lagi.

Pada masa sama, dia berkata PH tetap mempunyai kekuatan tersendiri dan matlamatnya kekal iaitu Malaysia yang lebih inklusif tanpa isu diskriminasi kaum yang sempit.

BBerkaitan

Latest articles