Ibu Yati Kena Kembali Kepada Ajaran Islam Sebenar

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat permohonan maaf kepada Wan Noor Hayati Wan Alias yang didakwa membawa ajaran sesat iaitu ‘Agama Melayu’.

Sebaliknya Nasrudin berkata wanita yang dikenali sebagai Ibu Yati itu perlu memohon maaf kerana bertindak mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan membawa fahaman yang boleh menyelewengkan pemikiran dan akidah orang Islam.

“Tiada keperluan untuk saya memohon maaf. Yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan membawa fahaman yang boleh menyelewengkan pemikiran dan akidah ummah ialah beliau.

“Selayaknya dia kembali kepada ajaran Islam yang benar dan memohon maaf kepada orang ramai,” katanya.

Pada 29 Jan lalu, Ibu Yati yang juga bekas wartawan sebuah akhbar berbahasa Melayu menafikan dirinya membawa ajaran sesat mahupun agama baru.

Berang kerana dikecam membawa ‘Agama Melayu’ wanita itu kemudian memberi tempoh tujuh hari kepada Nasrudin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Tempoh yang diberikan itu sudah tamat namun setakat yang diketahui belum ada sebarang tindakan diambil wanita berkenaan ke atas Nasrudin.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hampir selesai menyiasat dakwaan ajaran berkenaan.

Ahmad Marzuk dalam masa yang sama menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat menghukum mana-mana individu berdasarkan video yang tular di media sosial.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad pula berkata Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) perlu bermuzakarah dengan jabatan agama Islam negeri sebelum mengeluarkan fatwa ke atas sesuatu ajaran.

BBerkaitan

Latest articles