Azmin tekad perkukuh PN di Selangor

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Selangor berikrar menggalas amanah dan memperkukuhkan kekuatan PN di negeri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamed Azmin berkata, pelantikan itu akan dimanfaatkan sebaiknya bagi menumpukan usaha menjamin keselamatan rakyat dan mencerdaskan ekonomi negara.

“Saya berterima kasih di atas keyakinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional dan Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional dengan pelantikan saya untuk menerajui PN Negeri Selangor.

“Menginsafi bahawa cabaran hari ini menuntut sebuah kerajaan yang stabil, PN Negeri Selangor tekad untuk mendakap aspirasi rakyat,” katanya.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, PN Negeri Selangor akan terus menggembleng perpaduan dan kesatuan rakyat untuk bersama-sama dalam usaha pembangunan dan kemajuan negara.

“Sebagai sebuah gabungan kerjasama politik, PN mahu menganjurkan perjuangan murni, luhur dan ikhlas demi mengangkat martabat rakyat dan negara.

“Maka, saya menyeru seluruh komponen, pimpinan dan aktivis akar umbi PN khususnya di Selangor untuk segera menggalang satu kekuatan dan sinergi baru yang segar dan utuh demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan di Facebook beliau, memaklumkan seramai 14 Pengerusi BPN PN dilantik, termasuk Perdana Menteri, selaku Pengerusi BPN Johor.

BBerkaitan

Latest articles