Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata apa sahaja strategi Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu pencalonan perdana menteri adalah demi menaikkan anaknya untuk jawatan yang sama.
Najib berkata demikian mengulas sokongan Dr Mahathir terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri mohd Shafie Apdal sebagai perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) kembali menguasai Putrajaya.
“Pakatan Harapan minus (tanpa PKR) sebulat suara sokong Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai perdana menteri, Anwar dijadikan timbalan perdana menteri 1 dan Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri 2. Kan saya dah kata?
“Setiap jalan yang dipilih perdana menteri ke-7 akan berakhir dengan Mukhriz menjadi timbalan perdana menteri dan akhirnya perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pengumuman Dr Mahathir muncul selepas dirinya mengumumkan tidak akan bekerjasama dengan PKR selepas parti itu membuat keputusan untuk tidak menyokongnya sebagai calon perdana menteri sekali lagi.
Dr Mahathir, ketika menyatakan sokongannya terhadap Shafie turut menambah, bersetuju dengan Presiden Warisan itu kerana beliau ‘sebulu’ dengannya malah mendakwa pemimpin awal yang menjadi mangsa pentadbiran Najib.
Jika Shafie mendapat sokongan majoriti, beliau akan menjadi pemimpin Malaysia Timur pertama yang menjawat jawatan perdana menteri.