Malaysia Tangguh Hantar Jemaah Haji Tahun Ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zukifli Mohamad hari ini memaklumkan kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan ibadat haji kepada tahun hadapan.

Menerusi sidang medianya di Putrajaya hari ini, Zulkifli berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya nyatakan dengan tulus ikhlas bahawa ini adalah keputusan yang amat berat untuk diluahkan dan setelah mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka saya bagi pihak kerajaan Malaysia ingin mengumumkan kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam bahawa ibadat haji bagi musim haji 1441 Hijrah adalah ditangguhkan,” katanya.

Dasar itu juga diambil daripada taklimat disampaikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perbincangan ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang, pada 9 Jun lalu.

“Semalam, saya sudah menjemput Duta Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia untuk bertemu dan menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadah haji bagi Malaysia untuk disampaikan kepada Dr Mohammed Saleh bin Taher Banten selaku Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi.

“Selain Malaysia, antara negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah Haji mereka adalah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei,” katanya.

Sementara itu ujar Zulkifli TH akan mengeluarkan kenyataan rasmi dan soalan lazim berkaitan urusan penangguhan ibadat haji pada tahun ini.

Malah beliau turut berharap para jemaah haji yang sepatutnya menunaikan ibadat itu pada tahun ini redha dengan keputusan yang dibuat kerajaan ini.

BBerkaitan

Latest articles