Pelan Pemulihan Ekonomi (RESTART) Untuk Golongan Belia
Oleh :-Muhammad Iqbal Ikhwandi
Pelan Pemulihan Ekonomi (RESTART) yang dirangka oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah tepat pada masanya sebagai salah satu langkah Dasar Pemisah (Exit Policy) dalam mendepani tempoh pasca pandemik. Ini adalah satu usaha yang proaktif di mana suatu kerangka komprehensif telah dibina dengan menggariskan sebanyak 7 Strategi Utama bagi agenda RESTART ini.
Antara 7 Strategi Utama yang digariskan, saya tertarik dan ingin mengulas mengenai salah satu daripadanya iaitu cadangan untuk memperkenalkan Skim Perantisan Nasional (SPN) dalam usaha memberi peluang mendapatkan pengalaman pekerjaan kepada para belia.
Dalam menjayakan SPN ini, kerjasama antara pihak Kerajaan dan swasta (Public Private Partnership – PPP) termasuk syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) adalah amat penting dan perlu menjadi tunjang utama dalam merealisasikan SPN.
Selain memastikan penglibatan berkesan oleh pihak swasta dan GLC, sebuah pasukan petugas khas ataupun sekretariat perlu ditubuhkan yang merentas pelbagai kementerian, jabatan dan agensi iaitu KBS, Kementerian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Kementerian Sumber Manusia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan beberapa agensi berkaitan lain perlu ditubuhkan terlebih dahulu bagi mewujudkan koordinasi, kebersamaan dan kefahaman yang kukuh antara satu sama lain.
Golongan belia tidak boleh lagi diberi watak sampingan ataupun tempelan dalam rencana pembangunan ekonomi negara kerana statistik menunjukkan bahawa majoriti penganggur adalah dari golongan belia iaitu sebanyak 80%. Agenda pengukuhan ekonomi belia ini harus di-arus perdana-kan dan menjadi agenda nasional kerana lebih kurang 1/3 rakyat Malaysia adalah dari golongan belia.
Sehubungan itu, mesej ini harus disemat bukan sahaja dalam Perkhidmatan Awam malah ianya juga harus dihayati dan difahami oleh syarikat swasta dan GLC sebagai pemangkin kepada usaha ‘keazaman korporat’ mereka bagi menyahut seruan Kerajaan dalam menyokong agenda RESTART ini.
Syarikat swasta dan GLC wajar mengambil kesempatan dalam projek RESTART kerana ianya boleh menjadi ‘serampang dua mata’ kepada mereka iaitu dengan mempunyai ‘talent pool’ tenaga kerja / sumber manusia yang utuh dan luas, serta menikmati penjimatan kos pengambilan dan latihan pekerja.
Bagi tujuan ini, Kerajaan boleh menawarkan beberapa insentif seperti Potongan Cukai Berganda dan Skim HRDF-SPN kepada syarikat-syarikat yang mempunyai ‘keazaman korporat’ untuk menjadi sebahagian daripada ‘rakan kongsi’ kepada agenda RESTART ini.
Selain itu, penglibatan syarikat-syarikat ini di dalam agenda RESTART juga boleh dikategorikan sebagai sebuah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka sekaligus meningkatkan reputasi serta imej syarikat dan dalam masa yang sama mencapai Indeks Pengukur Utama (KPI) yang ditetapkan oleh syarikat masing-masing.
Saya ingin mencadangkan sebagai langkah pertama Kerajaan boleh memulakan dengan beberapa industri yang dikawalselia seperti industri perbankan, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan untuk mengambil para graduan baharu untuk bekerja di bank, syarikat telekomunikasi dan hospital di bawah agenda RESTART ini.
Institusi yang mengawalselia industri tersebut seperti Bank Negara Malaysia (BNM) bagi industri perbankan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi industri telekomunikasi boleh memandatorikan pengambilan para graduan baharu di bawah agenda RESTART ini dengan meletakkan syarat tambahan dalam permohonan perlesenan syarikat-syarikat yang dikawalselia.
Akhir sekali, saya yakin berkat usaha semua pihak yang menggembleng fikrah, usaha dan tenaga objektif-objektif agenda RESTART ini akan dapat dicapai dan pihak KBS di bawah kepimpinan Menteri Belia dan Sukan YB Dato’ Sri Reezal Merican, selaku agensi utama dan pelaksana akan sentiasa bersikap inklusif dan fleksibel dalam menilai sebarang cadangan dan teguran dari masa ke semasa bagi tujuan penambahbaikan berterusan.
________________________________________________________________________
Oleh
Muhammad Iqbal Ikhwandi
Strategis Polisi & Komunikasi
Penafian :- Artikel pembaca ini diterbitkan selepas melalui tapisan editorial TheRakyatInsight dan ianya tidak semestinya mencerminkan pendirian kami.
Anda mahu pandangan anda diterbitkan ? email kami [email protected] dan kami akan kongsikan artikel anda.