Muhyiddin Cipta Rekod Perdana Menteri Paling Banyak Buat Perutusan Khas?

Boleh agaknya kita berikan satu rekod yang telah dicipta oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri paling banyak memberikan Perutusan Khas dalam setahun kerana sehingga hari ini sudah lebih lima kali rasanya beliau muncul secara langsung di depan televisyen berucap kepada rakyat.

Hari ini, beliau muncul sekali lagi menyampaikan ucapan khas sempena Hari Guru yang disambut pada setiap 16 Mei.

Tema Hari Guru pada tahun ini ialah Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu.

Muhyiddin berkata tema berkenaan memberi penekanan terhadap peranan penting guru dalam memperkasa ilmu pengetahuan dan membina generasi baharu seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Saya ingin merakamkan ucapan setulus penghargaan kepada semua warga pendidik di seluruh negara atas segala jasa dan pengorbanan anda semua mendidik anak bangsa dan menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Dalam banyak-banyak ucapan Muhyiddin, paling memberi kesan kepada rakyat ialah Perutusan Khas Perdana Menteri pada 25 Mac 2020 apabila Muhyiddin membacakan doa sehingga mendapat perhatian rakyat dan netizen di media sosial khususnya Facebook dan Instagram.

BACA JUGA – Muafakat Nasional Teguh Sokong Kepimpinan Muhyiddin

“Ya ALLAH Ya Rahman Ya Rahim. Engkau ampunilah dosa-dosa kami. Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami dan negara kami. Engkau lindungilah hamba-hambaMU yang kerdil ini dari segala musibah. Engkau jauhilah diri kami dari penyakit yang berbahaya dan wabak yang mengancam nyawa. Engkau hindarilah kami dari bala yang berat dan takdir yang buruk.

“Ya ALLAH Ya Rahman Ya Rahim. Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaanMU yang berat ini. Engkau tiupkanlah ketenangan dalam jiwa kami. Sesungguhnya setiap dugaan yang Engkau turunkan kepada kami, Ya ALLAH, tiadalah ia melainkan untuk meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kami kepadaMU,” kata Muhyiddin dalam doanya.

Perutusan Khas Perdana Menteri paling bersejarah ialah pada 16 Mac 2020 iaitu ketika beliau mengumumkan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memerlukan semua rakyat duduk di rumah dan banyak premis kerajaan dan swasta ditutup selama 14 hari sebelum ia dilanjutkan beberapa kali.

Setiap kali dilanjutkan beliau akan memberikan perutusan khas. Ketika siaran langsung itu, Muhyiddin berdepan komen terus daripada rakyat tetapi pada masa itu, rakyat memberikan komen yang elok menyokong langkah kerajaan yang diambil untuk mencegah jangkitan Covid-19.

Kesimpulannya, kita boleh katakan bahawa netizen dan rakyat Malaysia menerima kepimpinan Muhyiddin dan cara beliau memimpin jentera kabinet dan kerajaan untuk mengekang wabak pandemik ini dan memimpin negara selepas dirosakkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya bertahan selama 22 bulan sahaja. – TRI

BBerkaitan

Latest articles