PKR Kedah menyokong pencalonan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor dari PAS sebagai menteri besar yang baharu menggantikan Mukriz Mahathir, kata Pengerusi PKR negeri Johari Abdul.
Johari, yang juga Adun Gurun memaklumkan pendirian partinya dalam sepucuk surat kepada Sultan Kedah, yang salinannya dilihat oleh TRI.
Dalam pada itu, portal Malaysian Insight juga melaporkan bahawa Johari mengakui kutulenan surat terbabit dan katanya “Surat itu betul. Kerajaan sudah jatuh. Yang Berhormat Sanusi (dari PAS) kita ambil (jadi menteri besar).
“Hendak calonkan siapa lagi?,” katanya lagi,
Surat itu menyebut, jika Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah membuat keputusan untuk menamakan seorang menteri besar yang baharu, PKR menyokong pencalonan Sanusi.
Ditanya apakah PKR tidak kecewa dengan tindakan dua wakil rakyatnya keluar parti, Johari berkata perkara itu memang sudah diketahui oleh parti.
Surat itu muncul tidak lama selepas Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas) mengumumkan mereka bukan lagi wakil rakyat PKR, sebaliknya menyokong Perikatan Nasional.
Baca ADUN LUNAS DAN ADUN SIDAM SAH KELUAR PARTI PKR
Ling dan Azman diketahui umum menyokong bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali yang dipecat pada hujung Februari lalu kerana dianggap mengkhianati parti dan dalang runtuhnya Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya.
Pada 6 mac 2020, Johari Abdul yang juga Adun Gurun telah dilantik mengetuai PH di Negeri Kedah.
Perlantikannya itu bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir berikutan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk keluar PH.