Pengerusi Bersatu Terengganu Anggap Undi Tidak Percaya Ke Atas PM Tak Kena Masa

Lebih ramai orang kini tampil dan bersuara menyelar tindakan beberapa orang Ahli Parlimen yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sidang Parlimen 18 Mei ini dan menganggapnya tidak kena masa.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu Datuk Razali Idris menurut berita Berita Harian Online, menyebut masanya tidak kena untuk urusan itu kerana negara dan dunia masih bercelaru dilanda penularan wabak penyakit Covid-19.

“Ini bukan masa yang tepat kerana negara dan dunia masih bercelaru dengan COVID-19,” katanya.

Menurutnya, walaupun mungkin ada sebahagian Ahli Parlimen yang akan menyokong usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berpendapat rakyat tidak mungkin menyokongnya kerana ketika ini negara sedang sibuk berperang dengan penyakit.

“Tindakan Dr Mahathir terhadap Muhyiddin bukan sahaja tindakan luar biasa tetapi janggal dan tidak kena pada masanya.

“Saya fikir, ini bukanlah masa yang tepat untuk menjatuhkan sesiapa dan tiada keperluan untuk membentangkannya di Parlimen tetapi ia terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof) untuk terima atau tidak.

“Tapi bagi seorang pengerusi yang mengetuai parti yang sama dan mengusulkan undi tak percaya pada presiden, saya rasa ia tidak pernah berlaku dan agak pelik,” katanya menurut laporan itu.

Razali berkata keutamaan negara masa ini ialah menyelamatkan Malaysia dari Covid-19 dan menangani kesannya ke atas ekonomi, keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Malah, kita boleh lihat sebahagian besar rakyat dapat menerima pemerintahan Perdana Menteri ketika ini (Muhyiddin) yang begitu cekap dalam menguruskan COVID-19 dan negara.

“Kita tak nampak ada rakyat yang memberontak dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri. Jadi, apa perlunya usul sebegini dibuat pada masa sekarang?” katanya.

Dari sudut pandang rakyat, mereka lebih senang untuk Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana rakyat berasa selesa dengan gaya beliau mentadbir negara dan menguruskan konflik.

Rakyat menyifatkan beliau adalah Perdana Menteri yang unik kerana ketika menyampaikan perutusan khas, beliau sendiri membacakan doa untuk kesejahteraan rakyat negara ini supaya terhindar dari wabak.

Sekarang ini pun, belum pun ditarik balik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kumpulan Pakatan Harapan (PH) sudah mula mengadakan ceramah untuk memfitnah rakyat secara atas talian tidak mengira rakyat sedang menyambut bulan Ramadhan yang penuh kesucian ini. – TRI

BBerkaitan

Latest articles