SELANGOR: Terkenal dengan gabungan unik antara tenis, badminton, dan ping-pong, pickleball kini mencuri tumpuan golongan muda di Malaysia yang teruja untuk merasai pengalaman permainan yang inklusif dan menyeronokkan.
Seiring dengan fenomena viral sukan pickleball ini, Malaysia melakar sejarah baharu dalam arena sukan ini dengan pembukaan gelanggang 9Pickle oleh Panas Express Group bertempat di Setia Alam.
Pengasasnya, Vincent Siow berkata 9Pickle merupakan arena pickleball pertama di negara ini yang dilengkapi kemudahan grandstand berkapasiti 500 penonton selain mengikuti spesifikasi sebenar gelanggang permainan tersebut.
Menurutnya, arena ini dibina bermatlamat menjadikan pusat sukan pickleball bertaraf dunia yang inklusif dan mampu milik sejajar dengan hasrat mengembangkan sukan tersebut kepada masyarakat umum.
“9Pickleball adalah gelanggang pertama dengan kemudahan grandstand memuatkan 500 penonton. Gelanggang ini mengikut ukuran standard sebenar…,” katanya ketika ditemui di gelanggang 9Pickleball di Setia Alam, di sini semalam.
Vincent berkata, majlis perasmian arena ini dijadual berlangsung pada 13 April 2025, dijangka akan diadakan kejohanan mega 9Pickle dan pameran bersama beberapa pemain terkemuka Malaysia.
Selain itu, perasmian dijangka lebih bermakna dengan kehadiran bintang pickleball nombor satu ASEAN dan pemain ranking keenam dunia, Quang Duong, yang akan mengendalikan klinik latihan khas untuk pemain tempatan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pickleball Putrajaya, Hussin Ali berkata sukan Pickleball akan dibawa ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 untuk acara pertunjukkan.
Menurutnya, Putrajaya dan Selangor sudah bersedia dengan pasukan Pickleball untuk menyertai SUKMA 2026, namun ada beberapa negeri sehingga kini tiada persetujuan berhubung penyertaan acara itu.
Mengulas lanjut, beliau yakin Malaysia dapat melahirkan atlet yang bagus dalam sukan Pickleball.
“Saya ingin melihat pemain pickleball bukan saya nak cari pemain tenis. Kita nak kalau boleh sudah ada pemain yang bertaraf Asia dahulu,” katanya ketika ditemui.
Sebelum ini, Selangor bercadang memperkenalkan sukan pickleball sebagai satu daripada acara yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, bagi menyediakan atlet pickleball, kerajaan negeri akan menganjurkan Pesta Pickleball Selangor merangkumi Kejohanan Terbuka Antarabangsa Pickleball Selangor yang antara lain bertujuan menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025.