96 Berita Palsu Dikesan, Anwar Arah Tindakan Tegas Terhadap Penyebar Fitnah Harga Minyak, Elektrik

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu mengenai kenaikan harga minyak dan elektrik di media sosial.

Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan yang sengaja dimainkan demi kepentingan politik sempit.

Katanya, penyebaran berita tidak benar itu turut memperjudikan kesejahteraan rakyat hanya untuk meraih sokongan murahan.

Berikutan itu, kerajaan tidak akan berdiam diri. Anwar menegaskan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat.

Setakat ini, MCMC dilaporkan telah mengesan sekurang-kurangnya 96 kandungan berita palsu berkaitan isu tersebut yang tular di pelbagai platform media sosial.

Dalam taklimat khas, Anwar menegaskan kerajaan kini berdepan cabaran besar, namun ia tidak seharusnya membuka ruang kepada pihak tertentu untuk terus menabur fitnah, menyemai kebencian dan melakukan sabotaj terhadap negara.

Beliau turut mempersoalkan motif pihak yang berterusan menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan kenaikan harga minyak dan barangan, sedangkan ia tidak berpaksikan dasar sebenar kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang tidak sahih.

Rakyat digalakkan menyemak kesahihan berita sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

Dalam masa sama, Anwar mengajak semua pihak berganding bahu memantau keadaan semasa demi melindungi kepentingan keluarga, masyarakat dan negara.

Beliau turut menitipkan doa agar segala usaha yang dilakukan diberkati dan Malaysia terus berada di bawah perlindungan Ilahi.

BBerkaitan

Latest articles