9 Sukarelawan Malaysia Misi Freedom Flotilla Selamat Tiba Di KLIA

SEPANG: Kesemua sembilan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) akhirnya selamat tiba di tanah air petang ini selepas melalui detik cemas ditahan tentera Israel.

Mereka mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 4.00 petang menaiki pesawat Saudia Airlines SV834 dari Jeddah, Arab Saudi.

Pesawat itu berlepas kira-kira jam 6.25 petang waktu Istanbul.

Sebelum ini, Wisma Putra mengesahkan kesemua sukarelawan terbabit dibebaskan dan diterbangkan keluar dari Israel menggunakan penerbangan Turkish Airlines TK6921.

Mereka tiba di Istanbul pada 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia) sebelum meneruskan perjalanan pulang hari ini.

Sembilan rakyat Malaysia itu merupakan sebahagian daripada 145 aktivis antarabangsa dalam misi FFC-TMTG yang ditahan tentera Israel selepas kapal konvoi kemanusiaan mereka ditunda ke Pelabuhan Ashdod.

Kesemua aktivis kemudiannya dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.

Insiden itu mencetuskan kecaman global apabila sembilan kapal dalam misi kemanusiaan berkenaan dihalang daripada meneruskan perjalanan membantu rakyat Palestin di Gaza.

BBerkaitan

Latest articles