Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu parti telah menggugurkan saman terhadap kesemua sembilan ahli parlimennya yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ujarnya, penarikan tindakan itu dilakukan memandangkan kesemua mereka kini berada dalam gabungan kerajaan yang sama iaitu Perikatan Nasional (PN).
“Kita sekarang rakan politik.
“Saya sudah mengarahkan peguam kami gugurkan saman itu,” demikian menurut Zahid seperti yang dilaporkan FMT, hari ini.
Terdahulu, Umno pada tahun lalu mengambil tindakan undang-undang dengan tuntutan ganti rugi RM200,000 setiap seorang terhadap Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Seri Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).
Begitu juga terhadap Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Shahbudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) atas alasan pecah amanah.
Bagaimanapun perbicaraan kes bagi kesemua sembilan ahli parlimen berkenaan belum dapat dimulakan selepas menerima bantahan daripada pihak tersebut.
Selain sembilan ahli parlimen Umno, turut meninggalkan gabungan Barisan Nasional (BN) selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 yang lalu adalah empat ahli parlimen dari Sabah.
Mereka menyertai Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri.
Kesembilan bekas ahli parlimen Umno kini bersama di dalam gabungan PN selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan partinya tidak lagi bekerjasama dengan PH dan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang baru.