86 Kes Positif COVID-19 Dalam Kalangan Mangsa Banjir

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 86 lagi kes positif baharu COVID-19 yang dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 267 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah kes yang dikesan itu, 75 daripadanya ketika saringan sebelum memasuki pusat pemindahan sementara (PPS), manakala baki selebihnya kes sedia ada.

“Setakat ini, tiada kejadian kes positif COVID-19 dilaporkan berlaku dalam kalangan mangsa banjir ketika berada di PPS.

“Semua 86 kes sudah diasingkan daripada mangsa banjir yang lain.

“Sembilan kes ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hospital (12), PPS kuarantin (62) dan menjalani kuarantin di rumah (tiga),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham turut mengingatkan kesemua pihak berkenaan risiko peningkatan kejadian penyakit berjangkit lain seperti keracunan makanan (AGE), tifoid dan kolera, penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD), leptospirosis, jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit dan demam denggi.

“Sehingga hari ini, sejumlah 203 kes ARI, penyakit kulit (73 kes), AGE (19), demam (12), cacar air (dua), penyakit berjangkit lain yang membabitkan mangsa banjir (55).

“Bagaimanapun, tiada kes konjunktivitis, tifoid, kolera, HFMD, leptospirosis dan denggi yang dilaporkan sehingga kini,” katanya.

Sehubungan itu, kesemua petugas kesihatan di semua fasiliti kesihatan, termasuk swasta perlu lebih berwaspada mengenai gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir.

BBerkaitan

Latest articles