KUALA LUMPUR: Lapan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan lima langkah tegas bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Rafizi berkata, gerakan itu akan bermula minggu depan dan diteruskan sehingga kerajaan bersetuju memulakan siasatan bebas serta telus berhubung pendedahan laporan Bloomberg.
Tegasnya, isu berkenaan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa penelitian menyeluruh.
Sebagai langkah awal, kumpulan tersebut akan mengutus surat kepada semua Ahli Parlimen merentas parti untuk mendapatkan sokongan supaya Azam digantung serta-merta sementara siasatan bebas dijalankan.
Mereka juga akan turun ke kawasan masing-masing bagi memberi penerangan terus kepada rakyat mengenai dakwaan yang timbul.
Dalam usaha meningkatkan tekanan politik, Rafizi memaklumkan pihaknya akan menghubungi pimpinan DAP dan Amanah agar menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memenuhi tuntutan tersebut.
Surat turut akan dihantar kepada Bersih bagi mencadangkan penganjuran perhimpunan aman dalam masa terdekat.
Selain itu, Rafizi mengesahkan beliau akan membuat laporan polis terhadap Azam susulan dakwaan campur tangan dalam satu kes melibatkan senjata api seperti dilaporkan media antarabangsa.
Katanya, tindakan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa dan kerajaan digesa tidak memandang ringan isu berkenaan.
Beliau menegaskan, kegagalan menangani dakwaan ini secara tegas dan telus boleh memberi implikasi politik kepada kerajaan, malah berisiko menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran semasa.










