75 Kes Dikompaun Langgar Skim Kawalan Harga Sempena Krismas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 74 kes gagal meletakkan tanda harga khas merah jambu dan satu kes tiada tanda harga, melibatkan nilai kompaun RM8,600 dikesan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Adam, berkata kesalahan itu dikesan menerusi 2,748 pemeriksaan yang dijalankan terhadap premis runcit, borong dan pengeluar di seluruh negara bermula 23 hingga 27 Dis lepas.

“Berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan KPDN serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 berjalan dengan baik dan lancar.

“Kementerian tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 … tiada kes melibatkan penjualan melebihi harga yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan skim itu.

Beliau berkata KPDN merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi di bawahnya, pihak industri dan semua peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan SHMMP Krismas 2024.

Pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 selama lima hari yang dijalankan dua hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan, merupakan langkah kerajaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika sepanjang sambutan Krismas.

Sebanyak 14 jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimum telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 – Bernama

BBerkaitan

Latest articles