7 bulan kerajaan perpaduan, tiada isu ancam Islam seperti era PH Dr M, kata Shahrir

Bekas Ahli Parlimen Johor Bharu, Tan Sri Shahrir Samad berkata tiada isu berkaitan Islam dan Melayu berbangkit sepanjang tujuh bulan kerajaan perpaduan mentadbir Putrajaya.

Beliau berkata, keadaan sebaliknya berlaku ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr Mahathir Mohamad pada 2018 apabila ada cubaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang membangkitkan kemarahan umat Islam dan Melayu.

Susulan bantahan ramai termasuk Umno dan PAS yang mengadakan perhimpunan mega di Kuala Lumpur ketika itu, kerajaan membatalkan cadangan meratifikasi konvensyen berkenaan.

Shahrir berkata, semua parti politik dominan sudah melalui pengalaman sebagai kerajaan, dan kebolehan masing-masing boleh diukur berdasarkan tempoh sama.

Katanya, usaha ke arah sekularisme berlaku secara terang-terangan walaupun ada pemimpin Melayu seperti Mahathir, Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu) dan Azmin Ali (timbalan presiden PKR ketika itu) dalam kerajaan katanya di dalam satu hantaran di laman facebook beliau semalam.

“Ingat tak? Bantahan terbesar terhadap rancangan kerajaan PH 1.0 untuk menerima ICERD berlaku pada 8 Dis 2018, tujuh bulan selepas kerajaan PH 1.0 ambil alih tampuk pemerintahan negara.

“Sungguhpun ada Mahathir, Muhyiddin dan Azmin dalam kerajaan, tapi usaha ke arah sekularisme telah berlaku secara berterangan. Mungkin kerana ada PKR dan DAP, kedua-dua parti yang berideologi sekularisme,” katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat ancaman kononnya Islam dalam bahaya ketika ini kerana DAP dan PKR berada bersama dalam kerajaan perpaduan, isu itu tidak pernah menjadi ancaman seperti ICERD suatu ketika dulu.

“Kalau sekarang ada momokan bahawa Islam berada dalam bahaya kerana adanya DAP dan PKR dalam kerajaan perpaduan, bezanya Mahathir, Muhyiddin dan Azmin tidak berada dalam kerajaan.

“Mereka di luar. BN yang berada di dalam. Sehingga kini, selepas tujuh bulan sejak tertubuhnya kerajaan perpaduan, tidak ada pun isu yang mengancam Islam, seperti ICERD dulu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles