6 Penjara Usang Perlukan Tindakan Segera – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa enam buah penjara di Malaysia kini berada dalam keadaan sangat usang, dan memerlukan perhatian serta tindakan segera demi kebajikan dan keselamatan penghuni.

Penjara-penjara yang dikenal pasti adalah Penjara Seremban, Negeri Sembilan, Penjara Taiping, Perak, Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan dan Penjara Pulau Pinang.

Menurut Saifuddin, antara masalah kritikal yang dihadapi termasuk kemudahan asas yang uzur seperti tandas curah lama yang tidak lagi sesuai digunakan dalam era moden.

“Walaupun kecil bilangannya, masih ada tandas-tandas uzur yang tidak manusiawi. Jadi, apakah ada keperluan mendesak untuk menggantikan penjara-penjara ini? Jawapannya ya. Tapi apakah kita mampu dari segi kewangan? Jawapannya tidak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Penjara ke-235 di Padang Kota Lama, hari ini.

Saifuddin menjelaskan, kekangan kewangan menjadi cabaran utama dalam usaha menaik taraf atau membina penjara baharu.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang cuba mendapatkan peruntukan pembangunan, namun terpaksa bersaing dengan kementerian-kementerian lain yang juga menghadapi isu infrastruktur usang.

“Menteri Pendidikan bercakap tentang 12,000 sekolah daif. Saya pula katakan banyak balai polis yang uzur. JKR pula memaklumkan ada banyak bangunan kerajaan yang usang. Jadi, kita terpaksa bersaing untuk mendapatkan peruntukan,” jelasnya.

Bagi mencari penyelesaian luar kotak, Saifuddin memaklumkan bahawa KDN kini meneroka kaedah penswastaan menerusi pertukaran tanah (land swapping).

Beliau yang mempengerusikan Jawatankuasa Penswastaan Projek KDN berkata, antara pendekatan yang sedang dikaji adalah membangunkan tanah milik KDN melalui kerjasama pihak swasta, berdasarkan penilaian pembangunan tanah yang diluluskan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Majlis Sambutan Hari Penjara ke-235 itu telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, dan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

Malaysia kini mempunyai 43 buah penjara di seluruh negara, dan hanya enam dikenal pasti berada dalam keadaan yang terlalu usang serta memerlukan pembaharuan menyeluruh.

BBerkaitan

Latest articles