55 Rakyat Malaysia Masih Belum Dapat Dihubungi Di Nepal, China

KUALA LUMPUR: Nasib 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal serta China masih belum mendapat kepastian, dengan Wisma Putra meneruskan usaha mendapatkan maklumat sahih mengenai status setiap individu terbabit.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, rekod semasa masih mengekalkan jumlah berkenaan sebagai individu yang belum dapat dihubungi, meskipun Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah menamatkan penugasan di Nepal dan kembali ke Malaysia pada Isnin.

SMART dijangka memberi taklimat kepada Wisma Putra mengenai operasi yang dilaksanakan serta maklumat diperoleh sepanjang berada di lapangan.

Sepanjang misi itu, pasukan berkenaan menjalankan pencarian di lokasi yang boleh dimasuki dengan selamat dan mendapat kebenaran pihak berkuasa Nepal, termasuk operasi darat serta pemantauan udara menggunakan dron.

Segala maklumat yang dikumpulkan akan diteliti bersama agensi berkaitan di Malaysia bagi menentukan langkah seterusnya.

Wisma Putra menegaskan, tamatnya penugasan SMART di Nepal tidak bermakna usaha menjejaki atau mendapatkan kepastian mengenai 55 rakyat Malaysia itu turut berakhir.

Sebaliknya, semua individu terbabit kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sehingga status masing-masing dapat disahkan.

Berdasarkan perkembangan terbaharu dari Nepal, pihak berkuasa negara itu masih meneruskan operasi pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana yang berlaku.

Dalam usaha membantu operasi tindak balas bencana Nepal, SMART turut berkongsi kepakaran dengan memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat tempatan.

Malaysia juga menyerahkan sembilan dron kepada kerajaan Nepal menerusi National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA) bagi menyokong usaha pencarian dan pengurusan bencana.

Bagi memastikan usaha mendapatkan maklumat tidak terhenti, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan meneruskan komunikasi secara langsung dengan NDRRMA serta pihak berkuasa Nepal.

Kedutaan turut akan membuat semakan dengan hospital dan agensi berkaitan, termasuk melakukan lawatan susulan sekiranya diperlukan, tertakluk kepada keadaan keselamatan dan kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Di China pula, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing terus berhubung dengan pihak berkuasa negara itu bagi mendapatkan perkembangan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas serta maklumat yang boleh membantu menentukan status mereka.

Wisma Putra pada masa sama mengakui memahami keresahan keluarga yang masih menunggu berita mengenai insan tersayang dan memastikan komunikasi dengan waris terdekat terus dilakukan.

Kementerian turut menegaskan bahawa sekiranya terdapat perkembangan yang telah disahkan mengenai mana-mana rakyat Malaysia, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum maklumat berkenaan diumumkan kepada umum.

Orang ramai dan media juga diminta menghormati privasi keluarga terbabit serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung individu yang statusnya masih belum disahkan.

Sebarang perkembangan baharu, menurut kementerian, hanya akan disampaikan selepas maklumat berkenaan disahkan melalui saluran rasmi.

BBerkaitan

Latest articles