KUALA LUMPUR: Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) mendedahkan kira-kira 50 selebriti, termasuk penyanyi terkenal yang bergelar Datuk, tersenarai sebagai “artis kaya” yang masih berstatus bankrap.
Ketua Pengarah MDI, Datuk M. Bakri Abd Majid berkata terdapat artis yang enggan memberi kerjasama dalam melunaskan bayaran bulanan yang ditetapkan meskipun kes mereka sedang ditadbir oleh pihaknya.
Menurut Bakri, ramai artis terbabit gagal mematuhi notis yang dikeluarkan dan enggan bertemu pegawai MDI untuk membincangkan kes mereka, atau culas membuat pembayaran bulanan berdasarkan kemampuan.
Keadaan ini menyulitkan usaha MDI membantu mereka keluar daripada status bankrap seperti yang diperuntukkan undang-undang.
“Ada kes yang sudah melebihi lima tahun dan layak untuk dilepaskan daripada status bankrap. Namun, akibat tidak memberi kerjasama atau enggan berjumpa pegawai MDI, mereka kekal bankrap sehingga kini,” jelasnya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
MDI turut mengesan sebahagian daripada selebriti tersebut memaparkan gaya hidup mewah di media sosial tetapi gagal melunaskan bayaran bulanan walaupun jumlahnya kecil.
“Sebagai individu yang mempunyai ramai peminat, mereka sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada masyarakat,” tambah Bakri.
Difahamkan, antara selebriti yang masih berstatus bankrap termasuk dua penyanyi rock terkenal dan beberapa pelakon popular yang masih aktif.
Selain artis, ahli perniagaan, tokoh korporat, dan ahli politik juga tersenarai sebagai individu bankrap yang gagal melibatkan diri dalam pengurusan kes.
Bakri menegaskan, status bankrap tidak bermaksud pengakhiran hidup.
Mereka boleh dibebaskan dalam tempoh tiga hingga lima tahun jika mematuhi arahan MDI, seperti membayar sumbangan bulanan tanpa gagal dan menghantar laporan pendapatan serta perbelanjaan setiap enam bulan.
“MDI juga sedia mempertimbangkan permohonan individu bankrap untuk ke luar negara atas urusan rasmi atau ibadat, tetapi terdapat kes di mana kemudahan ini disalahgunakan,” katanya.
Tambah Bakri, terdapat artis yang dipercayai menyembunyikan pendapatan mereka dengan menyalurkan wang hasil kerja seni ke akaun pihak lain, termasuk ahli keluarga.
“Individu bankrap hanya dibenarkan membuka satu akaun bank. Jika kami berjaya mengesan penyembunyian pendapatan seperti ini, tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.
Antara punca utama kebankrapan dalam kalangan selebriti ialah kegagalan perniagaan, pembelian hartanah mewah dan kenderaan, serta menjadi penjamin kepada individu lain.
MDI menyeru semua pihak, termasuk artis, agar mengambil serius status bankrap mereka dan mematuhi peraturan untuk memastikan proses pemulihan berjalan lancar.