5 Jam Selepas Zayn Rayyan Hilang Baru Laporan Polis Dibuat – Saksi

KUALA LUMPUR: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Sri Damansara kira-kira lima jam selepas kejadian itu.

Saksi, Koperal Nurul Khairina Zuki yang menerima laporan pertama itu, berkata Ismanira kelihatan tenang ketika tiba di balai polis pada jam 5.45 petang, 5 Dis 2023.

“Dalam laporannya, Ismanira memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan pulang ke apartmennya bersama anaknya yang berada di belakangnya. Dia membawa beg dan barangan lain selepas membeli-belah.

“Apabila dia menoleh ke belakang, dia mendapati anaknya telah hilang. Dia memberitahu bahawa Zayn Rayyan menghidap autisme dan tidak boleh bercakap,” demikian memetic laporan FMT.

Nurul Khairina berkata demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Saksi turut memaklumkan bahawa kanak-kanak itu memberontak sebab tidak ikut kemahuan.

Nurul Khairina berkata dia mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membuat laporan itu.

Katanya, Ismanira kelihatan seperti orang awam lain yang datang untuk membuat laporan polis.

Saksi itu berkata, dia kemudiannya menghubungi pegawai penyiasat kanan, Nor Zaharuddin Sanip dan memaklumkan mengenai laporan tersebut.

“Nor Zaharuddin mengarahkan saya merujuk kes ini kepada pegawai penyiasat bertugas, Nina Syamimi Syamsuddin,” katanya dan menambah Ismanira meninggalkan balai polis selepas membuat laporan.

Ketika disoal balas oleh Peguam Haresh Mahadevan, Nurul Khairina bersetuju bahawa Ismanira mencari anaknya bersama jiran-jiran sebelum datang ke balai polis.

Haresh: Saya katakan kepada anda bahawa Balai Polis Sri Damansara menerima panggilan mengenai kehilangan kanak-kanak itu sekitar jam 12.30 tengah hari sebelum ibunya tiba.

Nurul Khairina: Tidak benar.

Haresh: Adakah anda tahu bahawa polis hanya pergi ke tempat kejadian kira-kira lima jam selepas laporan dibuat?

Nurul Khairina: Saya tidak tahu.

Haresh: Adakah si ibu kelihatan dalam kerisauan?

Nurul Khairina: Dia seperti orang lain yang datang ke balai.

Haresh: Adakah dia nampak gembira? melompat-lompat?

Nurul Khairina: Tidak.

Saksi itu turut memberitahu Haresh bahawa dia tidak mempunyai akaun TikTok tetapi mengikuti perkembangan kes tersebut dengan teliti.

Pada 13 Jun 2024, Ismanira dan suaminya Zaim Ikhwan Zahari yang berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di PJU Damansara Damai antara tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang boleh didenda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 dan mayatnya ditemui di sungai dekat rumahnya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, keesokannya.

Dia dipercayai dibunuh, selepas bedah siasat mendedahkan kecederaan di leher dan badannya konsisten dengan luka mempertahankan diri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh bersambung esok.

BBerkaitan

Latest articles