Sebanyak RM13.92 bilion diperuntukkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam melaksanakan 91 program yang melibatkan seramai 5.3 juta usahawan dan bakal usahawan dalam tempoh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) selama 100 hari.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kesemua program tersebut mendapat kerjasama dengan pelbagai agensi di bawah kementerian.
Ia termasuklah SME Bank, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Tekun Nasional.
“Antara program yang membabitkan peruntukan paling banyak adalah moratorium penangguhan bayaran balik membabitkan agensi pelaksana iaitu SME Bank, Bank Rakyat, Tekun Nasional dan beberapa agensi lain dengan nilai bayaran RM7.8 bilion dan lebih 1.5 juta penerima yang mendapat manfaat.
“Selain itu program Covid Business Recovery-Micro (CBRM) di bawah pelaksanaan Tekun Nasional dengan 20,385 penerima manfaat membabitkan nilai bayaran RM157.62 juta,” katanya pada sidang media sempena Sesi Amanat dan Serahan 100 Pencapaian MEDAC di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kementeriannya di sini hari ini.
Kesemua program yang dijalankan pada ketika ini memberi tumpuan terhadap pemulihan dan bantuan terhadap golongan usahawan yang terkesan dengan Covid-19.