‘4K@Rengit’ Jadi Tumpuan Dr Puad

BATU PAHAT: Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membawa slogan ‘4K@Rengit’ untuk memenangi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

‘4K@Rengit’ merangkumi empat kunci utama iaitu Kesejahteraan, Kesihatan, Kecergasan dan Keceriaan.

Dr Mohd Puad berkata ikhtiar kesejahteraan merangkumi pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik.

“Bagi rakyat yang benar-benar susah, sekurang-kurangnya mereka akan mendapat rumah bawah program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan Rengit.

“Bagi ikhtiar yang membabitkan kesihatan, pembinaan pusat dialisis akan diwujudkan di Rengit yang mempunyai pelbagai kemudahan seperti terapi fisio dan kemudahan kenderaan untuk mengambil pesakit yang memerlukan rawatan dialisis.

“Selain itu, penyediaan wakaf kesihatan seperti katil hospital, keperluan oksigen dan sebagainya akan turut diwujudkan di kawasan Rengit yang akan dimanfaatkan oleh masyarakat setempat,” katanya ketika berkempen di sebuah warung di Lapis Perpat Rengit, hari ini.

Sementara itu elemen kecergasan turut menjadi agenda utama ikhtiar yang akan dilakukan dengan menggalakkan golongan muda menyertai pelbagai aktiviti sihat dengan mewujudkan banyak kelab sukan khususnya dua jenis sukan iaitu sepak takraw dan berbasikal.

“Kita akan menaik taraf semula kemudahan sukan yang ketika ini sudah banyak rosak, contohnya gelanggang futsal dan kecergasan.

“Seterusnya adalah ikhtiar keceriaan dengan memperbanyakkan lampu limpah dan naik taraf hiasan bunga serta berusaha mengecat semula bangunan yang ada di Pekan Rengit dengan warna-warni,” katanya.

Dr Mohd Puad memberitahu bahawa beliau lebih selesa untuk tidak berceramah terlalu panjang, tetapi terus mendekati pengundi dengan membuka ruang soalan dan isu yang dihadapi rakyat.

“Kawasan ini bukanlah tempat yang asing, saya pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat yang merangkumi DUN Penggaram, Senggarang dan Rengit, bahkan ketika bukan lagi menjadi wakil rakyat selama dua penggal saya sentiasa berada di kawasan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles