KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil seramai 42 saksi bagi membantu siasatan berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar Sin Chew Daily baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan kes masih berjalan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan memanggil lebih ramai saksi dalam masa terdekat.
“Setakat ini, kita telah terima sebanyak 40 laporan polis berkaitan isu ini. Siasatan sedang dijalankan dan seramai 42 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu sidang media selepas majlis perasmian Balai Polis Country Homes yang disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, hari ini.
Terdahulu, Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily telah ditahan untuk disoal siasat berhubung kes berkenaan.
Mereka dirakam percakapan selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kedua-duanya dibebaskan pada pukul 8.20 malam semalam.
Siasatan awal mendapati Ketua Editor akhbar berkenaan bertanggungjawab meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut, manakala Timbalan Ketua Penyunting disyaki sebagai pereka grafik kepada imej bendera tidak lengkap itu.
Insiden yang berlaku pada Selasa lalu mencetuskan reaksi pelbagai pihak selepas akhbar itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan sempena lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa dukacita dan bertitah agar pihak pengurusan serta jabatan pengarang akhbar berkenaan lebih peka dan menyemak kandungan sebelum dicetak untuk siaran.
Berikutan kontroversi itu, Sin Chew Daily tampil memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan bahawa kesilapan berkenaan adalah tidak disengajakan serta berpunca daripada kesilapan teknikal.