4 Imam Di Perak Tak Baca Teks Khutbah Jumaat Disediakan JAIPk Digantung Tugas

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menggantung tugas sementara empat imam yang dilaporkan tidak menyampaikan khutbah Jumaat disediakan pada solat Jumaat, 31 Januari lalu.

Timbalan Pengarah JAIPk, Zakaria Abd Razak berkata mereka terbabit didapati membaca khutbah dari negeri lain manakala satu lagi keluaran tahun 2023.

Menurutnya, tindakan segera menerusi surat yang dikeluarkan pada 6 Februari lalu turut melibatkan sekatan bayaran imbuhan, melibatkan keempat-empat imam yang bertugas di daerah Kerian, Parit Buntar serta daerah Hilir Perak dan Kuala Kangsar di Teluk Intan.

Katanya, arahan penggantungan itu dijangka berkuatkuasa hingga awal bulan Ramadan ini sementara menunggu Jawatankuasa Tatatertib JAIPk bersidang.

“Setakat ini hanya empat imam dan jika ada lagi maka kita akan buat susulan (tindakan) yang sama juga, dengan tempohnya (penggantungan) bergantung pada tarikh Jawatankuasa Tatatertib bersidang yang dijangkakan sekitar dua minggu dari sekarang,” katanya lapor Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan JAIPk diarah menyiasat dakwaan mengenai seorang khatib di Parit Buntar yang tidak membaca teks khutbah Jumaat dikeluarkan jabatan itu pada 31 Januari lalu.

Zakaria berkata tindakan tegas penggantungan empat khatib itu dibuat susulan keprihatinan ditunjukkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terhadap perbuatan itu yang dianggap melanggar amanah digalas menerusi watikah disampaikan oleh baginda.

Jelasnya Jawatankuasa Tatatertib akan mempertimbangkan alasan diberikan semua imam terbabit atas kegagalan membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan.

“Rata-rata mereka memberi alasan tidak boleh buka komputer peribadi untuk dapatkan khutbah yang masuk menerusi emel masjid bagi minggu itu,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles