Kuala Selangor: Empat cedera, manakala tiga selamat dalam nahas membabitkan tiga kenderaan yang terbakar di jalan besar Pasir Penambang, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 2.19 petang.
Beliau berkata, sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi Lapor Harian Metro
“Menurut laporan awal, kebakaran membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan kereta Proton Saga.
“Lori tangki terbakar 80 peratus manakala Toyota Alphard (20 peratus) dan Proton Saga (90 peratus),” katanya menerusi kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata, pemandu lori tangki lelaki cedera di kepala dan leher manakala pemandu kereta Proton Saga lelaki cedera di kepala dan badan.
Menurutnya, untuk MPV Toyota Alphard pula dua lelaki cedera ringan sementara tiga lagi iaitu dua kanak-kanak dan seorang wanita selamat.
“Operasi berjaya dikawal jam 2.31 petang,” katanya.