Tiga anggota dan seorang pegawai berpangkat inspektor dari sebuah balai polis di Shah Alam dipindahkan selepas dipercayai terbabit menyalahgunakan premis kerajaan untuk penganjuran parti persendirian bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata semua individu itu dipindahkan ke Johor dan Kelantan serta-merta selepas seorang anggota berpangkat koperal membawa empat orang awam ke pejabat mereka pada awal pagi 28 Sept lalu.
“Dalam insiden ‘so called’ parti itu, kita jumpa anggota berpangkat koperal membawa masuk orang awam, termasuk tiga wanita ke pejabat mereka dengan adanya muzik serta sedikit makanan.
“Ini jelas bertentangan prosedur operasi standard (SOP), iaitu mana-mana orang awam tidak boleh dibawa ke premis pejabat tanpa urusan rasmi. Itu tindakan dalaman yang mana kesemuanya diambil tindakan keluar terus dari Selangor (IPK Selangor).
Bukan saja dia (koperal), tiga lagi anggota yang sepatutnya menjadi penyelianya, iaitu seorang berpangkat sarjan, sarjan mejar dan inspektor turut ditukarkan kerana menyalahgunakan premis kerajaan, katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPK Selangor.
Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Peraturan 3C Pegawai Awam (Tata Kelakuan dan Disiplin) 1993.
Sementara itu, Hussein berkata, tangkapan tiga anggota IPD Kajang tidak membabitkan ketua balai, sebaliknya tiga individu terbabit anggota berpangkat rendah.
Ketiga-tiga anggota ini juga ditukarkan ke bahagian pengurusan serta-merta dan akan diambil tuduhan di bawah jenayah serta tatatertib.