38 ADUN Johor Sokong Hasni Sebagai MB

KUALA LUMPUR: Teka-teki siapa yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor masih belum terjawab meskipun sebelum ini dilaporkan majlis angkat sumpah jawatan itu akan diadakan pda hari ini.

Sementara itu, sumber UMNO memaklumkn Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan akuan berkanun (SD) 38 daripada 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam, bagi memaklumkan sokongan mereka terhadap pencalonan Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar.

SD itu dilaporkan sebagai bukti sokongan terhadap Hasni, dengan harapan calon Menteri Besar daripada Barisan Nasional (BN) itu akan dilantik semula ke jawatan berkenaan sebagaimana dijanjikan kepada pengundi Johor pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.

“Zahid menyerahkan kepada Sultan Johor SD 38 daripada 40 ADUN Umno-BN sebagai tanda sokongan untuk Hasni dilantik menjadi MB. Hanya satu ADUN tidak membuat SD menyokong Hasni.

“Hasni adalah calon tunggal BN. Akar umbi parti agak terkilan beliau belum dilantik lagi walaupun sudah tiga hari PRN berlalu. Kami janjikan kepada pengundi Hasni akan menjadi MB, jadi rakyat Johor mahu janji itu ditunaikan,” kata sumber.

Spekulasi pertukaran calon MB Johor mula bertebaran sejak semalam apabila nama ADUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi disebut bakal menggantikan Hasni.

Ia ditambah pula dengan kenyataan media Hasni yang mencadangkan agar kepimpinan baru menerajui kerajaan negeri.

Sepanjang kempen PRN Johor, Hasni disebut sebagai calon tunggal Menteri Besar.

Sehingga kini, pihak istana Johor belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pelantikan Menteri Besar baharu atau majlis angkat sumpah jawatan.

“Apapun adalah diharapkan isu pelantikan MB ini ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan mengambil kira sentimen semua pihak, terutama sekali pengundi Johor yang diyakinkan untuk memberi mandat besar kepada UMNO.

“Keyakinan pengundi terhadap UMNO-BN merentasi kaum dan diberikan atas beberapa faktor termasuk ‘janji’ bahawa Hasni ditampilkan sebagai satu-satunya calon BN untuk jawatan MB,” kata sumber itu.

BBerkaitan

Latest articles