KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menyalurkan sebanyak 374 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza bermula April ini selepas Mesir memberi jaminan untuk mempermudah laluan melalui pintu sempadan Rafah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata komitmen itu dicapai hasil pertemuan beliau dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, baru-baru ini.
Menurutnya, kerjasama tersebut akan mempercepatkan penghantaran bantuan kepada kira-kira 100,000 penduduk Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan.
Anwar turut menegaskan Malaysia akan terus konsisten dalam usaha membantu rakyat Palestin, meskipun berdepan pelbagai halangan termasuk sekatan oleh Israel.
“Malaysia akan kekal sebagai suara berprinsip dalam mempertahankan nasib rakyat tertindas,” katanya menerusi hantaran di Facebook, sambil mengharapkan misi bantuan itu dipermudah dan selamat tiba di Gaza.










