3 Warga Asing Yang Dikaitkan Dengan Shalom Sudah Diusir

KUALA LUMPUR: Kesemua tiga lelaki warga asing yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Avitan Shalom telah dihantar pulang ke negara asal mereka.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dengan berkata, tindakan tersebut dilakukan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui proses pemindahan imigran larangan daripada Malaysia.

“Ketiga-tiga lelaki itu dipindahkan keluar dari negara ini dan pulang negara asal mereka iaitu di Amerika Syarikat, Turkiye dan Georgia yang bermula sejak kelmarin hingga semalam.

“Siasatan ke atas ketiga-tiga lelaki ini, telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan keputusan telah pun dibuat iaitu usir mereka,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Rusdi juga diminta mengulas soal tujuh lelaki tempatan yang turut dibebaskan.

Beliau menegaskan kesemua mereka boleh ditahan semula sekiranya terdapat bukti baharu berkaitan kes tersebut.

“Kena faham bebas dengan jaminan, kalau ada perkembangan, saksi, keterangan baharu, kertas siasatan boleh dibuka pada bila-bila masa. Jangan ingat kalau dibebaskan itu akan dilepas begitu sahaja,” ujarnya.

Pada 19 April lalu, 10 individu termasuk tiga warga asing disyaki mempunyai kaitan dengan Avitan ditahan semula bagi disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Daripada jumlah itu, tiga terdiri suspek utama iaitu Avitan dan pasangan suami isteri telah dituduh di mahkamah manakala lima lagi dibebaskan.

Sepuluh daripada 18 individu itu sebelum ini telah direman bagi siasatan lanjut di bawah akta senjata api, namun kini ditahan semula di bawah Sosma.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130v (1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

BBerkaitan

Latest articles