KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis ditahan selepas didakwa mengugut seorang remaja perempuan berusia 18 tahun supaya melakukan hubungan seks sekiranya mahu dibebaskan dalam satu pemeriksaan di Sentul, Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata ketiga-tiga anggota terbabit kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
“Siasatan dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Kuala Lumpur. Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (serangan atau kekerasan jenayah dengan niat mencabul),” katanya.
Sebelum itu, tular di media sosial laporan polis oleh mangsa yang mendakwa didatangi beberapa anggota polis ketika bersama teman lelakinya di hadapan sebuah restoran kira-kira jam 1 pagi.
Telefon bimbit pasangan itu dirampas kononnya untuk pemeriksaan, dan mereka diberitahu akan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan.
Bagaimanapun, seorang daripada anggota terbabit didakwa menawarkan untuk “melepaskan” mereka dengan syarat gadis tersebut bersetuju melakukan hubungan seks dengannya.
Mangsa yang menolak ajakan itu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada hari sama.