KUALA LUMPUR: Tiga penyampai radio ERA FM, Nabil Ahmad, Radin, dan Azad Jasmin digantung tugas berikutan penyebaran sebuah video yang didakwa menyentuh sensitiviti penganut Hindu.
Dalam satu kenyataan, Astro Audio memaklumkan bahawa penyampai segmen “3 Pagi Era” itu tidak akan ke udara sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan.
“Para penyampai terlibat telah mengakui kesilapan mereka dan telah membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Sebagai sebuah syarikat penyiaran yang bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini. Setelah pertimbangan teliti, kami mengambil keputusan untuk menggantung ketiga-tiga penyampai tersebut sementara siasatan dalaman dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Astro Audio turut melahirkan kekesalan atas insiden berkenaan dan memohon maaf kepada pihak yang terkesan.
“Kami komited dalam memastikan persekitaran media yang menghormati kepelbagaian serta inklusif. Langkah-langkah penambahbaikan sedang diambil bagi memperketat proses semakan kandungan agar program yang disiarkan selari dengan nilai serta jangkaan audiens.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan pematuhan terhadap semua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa MCMC akan memanggil pihak Astro dan pengurusan ERA FM bagi memberikan penjelasan penuh mengenai isu berkenaan.
Terdahulu, video yang mencetuskan kontroversi itu memaparkan salah seorang penyampai meniru tarian kavadi, sebuah upacara suci dalam perayaan Thaipusam, sambil menyebut “Vel Vel” yang diiringi gelak tawa.
Klip video tersebut menerima kecaman meluas kerana dianggap sebagai satu penghinaan terhadap kepercayaan masyarakat Hindu.
Video berkenaan bagaimanapun telah diturunkan dari semua platform media sosial stesen radio itu.