Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.
Pegawai Pengurus pilihan raya, Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan senarai calon yang bertanding jam 10.35 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, ditutup pada jam 10 pagi.
“Kita menyemak kertas-kertas penamaan berkenaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan,” katanya hari ini.
Pada PRK itu, BN mempertaruhkan anak tempatan Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim bagi mempertahan kerusi berkenaan.
Seorang lagi calon adalah peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang bertanding atas tiket Bebas mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Seorang lagi calon Bebas, Santhara Sekaran Subramaniam, 42.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong, Pahang selepas mengadu kesukaran bernafas.
Mohd Khusairi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004.
Pada PRU-14, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.
Senarai calon mengikut kertas undi:
1.Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (Bebas)
2. Mohd Zaidi Aziz (BN)
3. Santhara Sekaran Subramaniam (Bebas)