KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkaya seramai tiga individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung penemuan seorang mayat bayi di dalam lubang tandas stesen minyak Petronas Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, kira-kira pukul 11.15 pagi semalam.
Ujar Md Yusof ketiga-tiga dipanggil bagi membantu siasatan.
“Setakat ini seramai tiga individu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi dalam tandas stesen minyak terbabit,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, pada Ahad lalu penduduk setempat gempar dengan penemuan mayat seorang bayi yang terlangkup di dalam lubang tandas wanita di stesen minyak Petronas Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam.
Dalam pas itu, Md Yusof berkata, polis juga sedang mengesan dua wanita dan pemilik kereta Perodua Bezza berwarna biru yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
“Bagi motif kejadian, kita percaya suspek mahu menyembunyikan kelahiran. Untuk itu, polis giat mencari mereka,” katanya.
Mengulas hal berkaitan, Md Yusof mengesahkan jantina mayat bayi itu adalah lelaki.
Polis percaya bayi itu baru sahaja lahir berdasarkan tali pusat dan plasenta yang masih melekat.
Manakala punca kematian masih belum dapat dipastikan memandangkan proses bedah siasat belum dijalankan.
“Bedah siasat akan dilakukan selepas keputusan X-ray dan ujian CT scan mangsa dibuat di Hospital UiTM Puncak Alam,” katanya lagi.