KUALA LUMPUR: Semua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan berada dalam keadaan selamat dan stabil.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim, yang berkata kerajaan bersama Wisma Putra kini sedang bersiap sedia untuk membawa pulang kesemua sukarelawan sebaik rundingan akhir dimuktamadkan.
“SNCC berhubung rapat dengan wakil dan peguam kita di Jordan. Semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat.
“SNCC bersama kerajaan juga sudah bersiap siaga untuk melaksanakan operasi membawa pulang mereka,” katanya pada sidang media di SNCC, hari ini.
Menurut Sani, proses awal pembebasan agak rumit apabila keseluruhan delegasi GSF tidak dibenarkan bertemu peguam atau wakil daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH).
“Pada peringkat awal, hanya 20 peserta dibenarkan bertemu peguam. Selepas itu, akses mereka terhalang dan rundingan terganggu.
“Kini rundingan sudah masuk fasa kedua yang amat penting kerana ia melibatkan penandatanganan dokumen akhir untuk membolehkan mereka dikeluarkan dari tahanan Israel,” jelasnya.
Setakat ini, seramai 458 peserta flotilla masih ditahan rejim Zionis, manakala empat warga Itali telah dibebaskan.
Sani turut mengesahkan laporan bahawa sebahagian peserta, termasuk rakyat Malaysia, digari menggunakan zip-tie selama kira-kira lima jam selepas melaungkan slogan “Free Palestine”.
Mereka juga dinafikan akses kepada air, makanan, tandas serta hak bertemu wakil guaman.
“Delegasi kita kini ditempatkan di Penjara Ktzi’ot, Israel dan telah menandatangani borang Request of Immediate Departure. Namun masih ada tiga peserta yang belum sempat ditemui kerana cuti umum di negara itu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, barangan bantuan seperti beras, mi segera, biskut, ubat-ubatan dan pelbagai bekalan lain yang dibawa dalam misi GSF masih berada di atas kapal yang dipintas tentera Israel.
Sani dalam pada itu menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus berdoa dan memberi sokongan supaya rundingan akhir dalam tempoh 48 jam ini berjalan lancar serta membolehkan semua sukarelawan dibebaskan segera.