22 Laporan Polis Dibuat Bantah Himpunan Selamatkan Malaysia

KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 laporan polis telah diterima daripada pelbagai pihak yang membantah ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ yang dirancang di ibu negara pada esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua laporan polis berkenaan diterima daripada pemilik premis serta orang awam dari seluruh negara.

“Mengenai kumpulan ‘Baju Merah’ diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, setakat ini juga tiada sebarang notis pemakluman diberikan kepada kita (polis),” katanya.

Razarudin menambah bahawa polis boleh menyiasat pihak yang mengadakan perhimpunan terbabit di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).

“Tiada sebab himpunan itu perlu diadakan kerana pihak polis sentiasa memastikan negara dalam keadaan selamat dan terkawal.

“Seperti kenyataan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) yang menyifatkan penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia tidak menghormati sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

“Polis akan sentiasa memastikan keamanan dan ketenteraman awam terpelihara sebaiknya,” ujarnya.

Sebelum ini Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya tidak menerima notis makluman awal tentang penganjuran himpunan aman ini.

“Sepatutnya penganjur memberikan notis pemakluman awal penganjuran himpunan itu kepada pihak polis lima hari sebelum hari kejadian (Sabtu),” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles