KUALA LUMPUR: Seramai 22 individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasiruddin Mohd Ali, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Pengakuan tersebut dibuat di hadapan Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan, sejurus kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kes ini dikendalikan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Bagaimanapun, peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili 21 tertuduh (kecuali Hamimah) memaklumkan pihaknya sedang melengkapkan permohonan jaminan bagi mereka.
“Sehingga kini, 17 permohonan telah difailkan tetapi masih dalam proses pelengkapkan, termasuk keperluan memasukkan afidavit seperti sijil kesihatan. Empat lagi akan difailkan minggu ini,” katanya.
Mahkamah menetapkan 17 Mac ini untuk mendengar hujahan permohonan jaminan bagi 21 tertuduh, kecuali Hamimah yang telah dibenarkan ikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin pada 13 Januari lalu.
Pada 23 Oktober 2024, kesemua tertuduh termasuk Nasiruddin dan pemimpin tertinggi GISBH telah didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan yang sama. Namun, tiada pengakuan direkodkan ketika itu kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. — BERNAMA