215 Saman Sepanjang Ops Khas Penjaja Jalanan

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa menyedari aktiviti penjaja jalanan semakin meningkat dan menjadi trend perniagaan pada hari ini, selepas negara dilanda pandemik COVID-19.

Bagaimanapun Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain menegaskan bahawa aktiviti penjaja jalanan terutama di kawasan lampu isyarat boleh mendatangkan bahaya terutama risiko kemalangan jalan raya.

Ujarnya, kebanyakan penjaja akan melakukan urusan jual beli di persimpangan lampu isyarat dan rata-rata mereka menjual jeruk mangga selain makanan ringan dan minuman.

“Penjualan sebegini merupakan satu kesalahan di bawah kaedah 10A (1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 yang menyatakan tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di atas mana-mana jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, JSPT telah melaksanakan Op Khas (penjaja jalanan) di seluruh negara bermula dari 13 hingga 31 Disember lalu.

Hasil operasi sepanjang 19 hari tempoh Op Khas itu, sebanyak 215 saman dikeluarkan ke atas penjaja jalanan dengan melibatkan 11 rampasan.

“Manakala sebanyak 137 tindakan advokasi iaitu peringatan tegas telah diberikan supaya penjualan di atas jalanan termasuk berhampiran lampu isyarat dihentikan serta merta.

“JSPT menggesa kepada semua pengusaha dan penjaja jalanan agar menghentikan penjualan jeruk mangga, makanan dan minuman di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya.

“JSPT komited akan menjalankan operasi sebegini secara berterusan supaya mereka mematuhi arahan serta peraturan undang-undang yang telah ditetapkan dan mana-mana individu yang terlibat dalam urusan jual beli boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan sekiranya disabitkan kesalahan.

“Kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi keberkesanan kempen Op Khas (penjaja jalanan) ini,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles