Alhamdulillah, sepanjang tahun 2024, Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan hasil daripada lawatan rasmi ke luar negara dan kunjungan pemimpin dunia ke tanah air. Kejayaan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara-negara sahabat, tetapi turut melonjakkan pelaburan, meningkatkan eksport negara, dan memperkukuh nama Malaysia di persada dunia, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, Malaysia kini diiktiraf sebagai rakan strategik yang dihormati di pentas antarabangsa. Pengiktirafan ini bukan sekadar hasil daripada hubungan diplomatik yang kukuh, tetapi juga berkat usaha negara memperjuangkan isu global, terutama dalam menegakkan keadilan buat rakyat Palestin. Di samping itu, Malaysia terus menjadi suara penting dalam memperjuangkan tatanan dunia yang lebih adil dan seimbang.
Melangkah ke tahun 2025, Malaysia bersedia memimpin ASEAN ke era baharu yang lebih terangkum dan mampan. Kita akan memastikan rantau ini terus berkembang sebagai pusat kemakmuran, kestabilan, dan keadilan sosial, katanya melalui satu catatan di laman Facebooknya hari ini.
Menerusi video yang dimuat naik dalam hantaran tersebut, ia mengimbau lawatan rasmi dan lawatan kerja Perdana Menteri ke luar negara pada tahun 2024, termasuk ke Singapura, Brunei, Indonesia, China, Australia, Rusia, Jerman, Qatar, Arab Saudi, Uzbekistan, Jepun, India, Peru, dan Brazil.
Sebanyak RM115.2 bilion (US$25.2 bilion) potensi pelaburan telah terhasil daripada keseluruhan lawatan tersebut, antaranya melibatkan Jerman (RM46 bilion), Korea Selatan (RM32.8 bilion), Australia (RM24.5 bilion), Jepun (RM1.45 bilion), dan India (RM4.8 bilion).
Selain itu, Malaysia juga menerima 35 lawatan rasmi dan kunjungan hormat daripada pembesar negara asing, termasuk dari Kemboja, Argentina, China, Kyrgyzstan, Mesir, dan Bahrain.
Dengan sokongan padu masyarakat antarabangsa, kita melangkah ke tahun hadapan dengan penuh keyakinan untuk memacu kemakmuran bersama katanya.