KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor petang ini mengesahkan dua lagi mayat ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting Highlands – Batang Kali.
Perkembangan ini menjadikan angka korban tragedi tanah runtuh yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi semalam (Jumaat) meningkat kepada 23 orang.
Mayat terbaru melibatkan seorang wanita dan kanak-kanak lelaki, dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan pengecaman.
Kini tinggal 10 lagi mangsa yang masih belum ditemui dipercayai tertimbus dalam tanah berlumpur di kawasan tersebut.