KUALA LUMPUR: Selepas insiden yang melibatkan tujuh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) beberapa hari yang lalu, dua kes buli yang baru telah dikesan di institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan berikutan aduan terkini sebagai usaha untuk membanteras budaya buli secara menyeluruh.
“Ketua Pengarah MARA telah menerima dua hingga tiga kes berkaitan buli di MRSM atau Institusi Pendidikan MARA yang sebahagiannya merupakan kejadian lama sebelum ini. Namun, kes-kes ini masih dalam peringkat siasatan,” katanya di sidang media di Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) 2025, hari ini.
Dalam masa yang sama Asyraf menekankan kepentingan untuk tidak membiarkan insiden buli “menjadi budaya membisu” atau dinormalisasikan.
Menurut beliau, sikap pasif terhadap kejadian buli mempunyai kesan jangka panjang kepada pembentukan sahsiah pelajar serta ekosistem pendidikan MARA.
Beliau turut mendedahkan pelbagai inisiatif pencegahan yang telah dilaksanakan, antaranya Kursus Khas Bersama Kaunselor untuk memberi sokongan emosi dan membina kesedaran mengenai kesan buli; Pemantauan Berkala yang memastikan insiden buli dikenal pasti dan ditangani dengan segera serta Penglibatan Pengurusan Tertinggi MARA untuk memastikan segala tindakan diambil adalah segera, adil dan tegas.
Menerusi laporan kejadian buli di sebuah MRSM baru-baru ini, tindakan siasatan dan intervensi oleh jawatankuasa disiplin dilakukan dalam masa kurang daripada 24 jam selepas laporan diterima.
“Saya menyeru kerjasama daripada semua pihak, termasuk rakan sebaya dan penghuni asrama, untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kejadian buli supaya tindakan segera dapat diambil. Jangan takut dilabel ‘jimbam’ atau ‘mat report’, dan jangan sesekali biarkan diri atau rakan terbuli,” tegas beliau.