PUTRAJAYA: Selepas tujuh tahun perbicaraan panjang yang mencatat sejarah kehakiman negara, Mahkamah Tinggi akhirnya menetapkan 26 Disember ini sehari selepas sambutan Krismas sebagai tarikh penentu nasib Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memaklumkan tarikh tersebut ketika prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, sekali gus menandakan penghujung kepada salah satu kes rasuah paling berprofil tinggi di dunia.
“Kes ini akan berlarutan hingga 4 November. Namun saya ingin nyatakan di sini bahawa keputusan akan saya sampaikan pada 26 Disember ini, on Boxing Day,” katanya, merujuk kepada tarikh sehari selepas Krismas.
Mahkamah turut menetapkan 4 November ini sebagai tarikh akhir penghujahan, selepas pasukan pembelaan gagal menyiapkan hujahan lisan mereka hari ini.
Kes yang mendapat perhatian global itu mengambil masa 303 hari prosiding, termasuk 10 hari sesi hujahan akhir yang bermula 21 Oktober lalu.
Najib pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 20 September 2018, manakala perbicaraan penuh bermula 28 Ogos 2019.
Kes ini pada asalnya dijalankan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Istana Kehakiman, Putrajaya, selepas Hakim Collin dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan.
Sepanjang tempoh itu, mahkamah mendengar keterangan 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan termasuk tokoh-tokoh ternama seperti bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adik kepada Sultan Terengganu, Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud, serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri itu perlu membela diri terhadap semua pertuduhan.
Najib, yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa melibatkan suapan RM2.28 bilion dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur.
Pasukan pembelaan diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersama beberapa peguam termasuk Datuk Tania Scivetti dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.
Sementara itu, pihak pendakwaan pada awalnya diketuai oleh Mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, sebelum tanggungjawab diambil alih oleh Datuk Ahmad Akram Gharib dan pasukannya selepas kematian beliau pada Januari 2023.
Keputusan pada 26 Disember nanti dijangka menjadi antara penghakiman paling bersejarah dalam dunia kehakiman Malaysia, menentukan sama ada Najib akan terus dipenjarakan atau dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan berkaitan 1MDB.










