1MDB: Najib Kata Wajar Semak Semula Pertuduhan Selepas Kenyataan PM Berkaitan Pendakwaan Cacat, Tergesa-gesa

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak semula kesemua pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 billion selepas kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bulan lalu.

Datuk Seri Najib Razak mendakwa bukan sahaja dirinya, bahkan seluruh ahli keluarga juga menerima tekanan atas pendakwaan sedemikian.

“Selama enam tahun saya mempertahankan pendirian bahawa pendakwaan ini dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa melalui pertuduhan yang cacat dan ia selari dengan kenyataan Perdana Menteri,” ujar beliau dalam keterangan bela dirinya.

Disember lalu, Anwar dilaporkan berkata pendakwaan kes-kes mahkamah berprofil tinggi dilakukan secara tergesa-gesa, cacat, dicemari racun dan mewujudkan permusuhan.

Anwar mengeluarkan kenyataan itu susulan pembebasan penuh isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor daripada tuduhan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, tindakan itu didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik oleh mereka yang berkuasa yang kemudian disandarkan oleh Najib bagi menyokong pembelaannya di mahkamah.

Ketika membacakan pernyataan saksinya, Najib berkata, kenyataan Anwar ‘mengesahkan’ kebimbangan bahawa kes mahkamah terhadapnya bermotifkan politik dan dilakukan secara tergesa-gesa.

“Saya percaya kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini mengenai kecacatan dalam proses pendakwaan mengesahkan kebimbangan yang sudah lama berlarutan mengenai prosiding undang-undang terhadap saya.

“Semakan menyeluruh perlu dilakukan memandangkan pertuduhan terhadap saya telah disediakan walaupun sebelum kenyataan saya direkodkan (oleh pihak berkuasa),” katanya.

Najib menyatakan demikian ketika menjawab soalan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang meminta beliau menyuarakan pendapatnya berhubung kenyataan Anwar dan kaitan dengan kes dihadapinya di mahkamah.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mencelah dan bertanyakan sama ada kenyataan Anwar itu relevan dengan kes yang dihadapi Najib.

Muhammad Shafee menjawab, ia penting bagi menunjukkan ketidakadilan yang terpaksa ditanggung oleh anak guamnya.

Pada prosiding hari ini, Najib selesai membaca pernyataan saksi setebal 692 muka surat sejak mengemukakan keterangan bela diri bermula 2 Disember tahun lalu.

Najib membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Prosiding yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Istana Kehakiman di sini, bersambung esok.

BBerkaitan

Latest articles