KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya menegaskan bahawa keterangan serta bukti yang dikemukakan pendakwaan adalah kukuh dan meyakinkan, sekali gus menolak hujahan pihak pembelaan Najib.
Najib sebelum ini dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion milik 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.
Sepanjang peringkat pendakwaan, seramai 50 saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung selama 253 hari, bermula 28 Ogos 2019 hingga 30 Mei 2024.
Kes pembelaan pula menyaksikan pasukan peguam Najib memanggil 26 saksi bagi menyokong hujahan mereka.
Perbicaraan peringkat pembelaan bermula pada 2 Disember tahun lalu dan berakhir pada 6 Mei lalu, sebelum mahkamah menetapkan tarikh keputusan hari ini.










