1MDB: Najib Dipenjara 15 tahun, Denda RM11.38 Bil

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun dan denda berjumlah RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi sebentar tadi selepas disabitkan bersalah ke atas 4 pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Najib dituduh menyalahguna kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Keputusan hari ini adalah rentetan kegagalan Najib dalam permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada selasa lalu.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) mengarahkan hukuman penjara berjalan selepas hukuman SRC International beliau sekarang tamat.

Dalam pada itu hakim turut memerintahkan Najib dipenjara 40 tahun jika gagal membayar denda tersebut.

Collin ketika membacakan penghakimannya berkata, tiada kecacatan dalam hujah pendakwaan dan mahkamah percaya bahawa Jho Low menerima arahan daripada Najib berdasarkan bukti bukti dan hujah yang dikemukakan.

Mahkamah berpendapat keterangan saksi pendakwaan juga didokong oleh bukti dokumen dengan kesemuanya menunjukkan arahan dalam kes ini adalah dari Najib sendiri.

Collin berkata, pegawai SPRM juga tidak berpuas hati kerana tiada profiling dibuat ke atas orang yang dikatakan Raja Saud.

Katanya, mereka tidak berjumpa dengan Raja Saud sebaliknya pembantu Jho Low dan seorang Peguam.

“Mahkamah terima bukti dan keterangan bahawa Najib kenal Jho Low. Ada bukti bergambar mereka bercuti bersama,” katanya.

Mahkamah selain itu memutuskan bahawa Surat Derma Raja Arab itu adalah palsu dan hanya dikemukakan sebagai salinan fotostat.

Saksi, Jasmine Loo selain itu turut memberi keterangan bahawa dia melihat draft surat itu dalam skrin laptop Jho Low ketika berada di luar negara.

Pasukan pembelaan Najib diketuai peguam senior, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Manakala pihak pendakwaan diwakili, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib.

Pada 6 Mei lalu, pembelaan menutup kes selepas selesai mendengar keterangan 26 saksi pembelaan yang mengambil masa selama 58 hari.

Sepanjang 7 tahun perbicaraan kes berprofil tinggi itu, Mahkamah Tinggi telah mendengar keterangan daripada 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan.

Najib didakwa pada 20 September 2018, dengan perbicaraan kes di peringkat pendakwaan bermula pada 28 Ogos 2019, dan berakhir pada 30 Mei 2024.

Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memerintahkan Najib membela diri di mana hari pertama prosiding bela diri ialah pada 2 Disember 2024 dan hari terakhir 6 Mei 2025.

BBerkaitan

Latest articles