1MDB Diurus Kucar-kacir, Pendakwa Raya Kata Najib Tidak Akan Didakwa Jika Tadbir Urus Teratur

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa tadbir urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kucar-kacir menjadi punca berbilion ringgit dana syarikat itu diseleweng ke tempat lain secara sengaja.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, jika urus tadbir dan kawalan kewangan 1MDB dilaksanakan dengan betul, Datuk Seri Najib Razak tidak akan berdepan pertuduhan jenayah.

Beliau menyifatkan kes penyelewengan dana 1MDB sebagai luar biasa, malah mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebelum ini pernah menggambarkan 1MDB “diurus seperti sebuah kedai kopi”.

Mohamad Mustaffa berkata, pengunduran Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB pada Oktober 2009 sepatutnya menjadi amaran awal untuk memperbetulkan keadaan. Namun, mesej yang dihantar kepada Najib mengenai keputusan itu tidak pernah dijawab.

Pendakwaan turut menegaskan bahawa isu berkaitan hutang dan pelaburan 1MDB telah dibangkitkan di Parlimen sejak 2010, dan Najib sendiri ditanya mengenai penglibatan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Rekod komunikasi dan keterangan saksi, termasuk Joanna Yu, menunjukkan Jho Low aktif mengurus akaun bank peribadi Najib termasuk transaksi RM42 juta yang menjadi asas pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

“Bukan Jho Low yang dibicarakan di sini, sebaliknya tertuduh,” tegas Mustaffa ketika menutup hujah pendakwaan.

Najib berdepan empat pertuduhan pecah amanah melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB serta 21 tuduhan pengubahan wang haram, didakwa dilakukan antara 2011 hingga 2014 di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

BBerkaitan

Latest articles