19 MP Bersatu Sokong Muhyiddin, Tolak Desas-desus Rombakan Parti

KUALA LUMPUR: Krisis dalaman Bersatu yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini seakan mereda apabila 19 Ahli Parlimen parti itu tampil sebulat suara menyatakan sokongan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pertemuan tertutup semalam.

Pertemuan yang berlangsung di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara itu menyaksikan kehadiran beberapa tokoh utama termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, meskipun sebelum ini beliau dikaitkan dengan dakwaan ‘tidak sehaluan’ dengan bekas Perdana Menteri itu.

Turut kelihatan ialah Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin, yang dikaitkan dengan spekulasi bakal menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

Selepas pertemuan itu berakhir, satu video dikongsi kepada media memaparkan semua Ahli Parlimen yang hadir melaungkan, “Kami sokong Presiden… tenang, tenang,” menandakan solidariti jelas terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Antara pemimpin lain yang hadir ialah Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan; Ahli Parlimen Lumut, Komander Nordin Ahmad Ismail; Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah; dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Bercakap kepada media, Kalam menegaskan bahawa perjumpaan itu langsung tidak menyentuh soal rombakan atau pertukaran jawatan dalam parti.

“Tiada bincang soal reshuffle. Kami hadir untuk kukuhkan parti dan nyatakan sokongan kepada Presiden,” katanya ringkas.

Sebelum ini, tular sebuah draf dokumen dalaman bertarikh 10 November yang didakwa sebagai surat sulit kepimpinan Bersatu, mencadangkan langkah segera “mendamaikan” kemelut parti, termasuk cadangan agar Radzi mengambil alih peranan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

Bagaimanapun, dokumen tersebut tidak mempunyai kepala surat rasmi.

Isu dalaman Bersatu kembali memuncak selepas 16 Ahli Parlimen parti itu menandatangani sepucuk surat bertarikh 23 Oktober, menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal.

Mereka menyifatkan tindakan itu “tidak bijak” dan berpotensi menjejaskan momentum sokongan terhadap pembentangan Gagasan Belanjawan PN oleh Hamzah.

Mereka turut membantah langkah memanggil Hamzah ke Lembaga Disiplin, yang dianggap tidak wajar.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan bahawa surat berkenaan telah diserahkannya sendiri kepada Muhyiddin di Parlimen pada 27 Oktober lalu.

BBerkaitan

Latest articles