19 Bahagian Bersatu Di Selangor Setia Dengan Muhyiddin

Naib Presiden Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari berkata 19 bahagian parti di Selangor menyokong Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan pemimpin Bersatu di Klang, Kuala Selangor dan Jeram yang bertindak keluar parti pada awal bulan ini dan menyertai Pejuang yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dari 22 bahagian di Selangor, 19 ketua bahagian memberi sokongan padu kepada presiden dalam memimpin perjuangan parti.

“Dari tiga bahagian di mana para pemimpinnya meninggalkan parti, dua bahagian dipimpin oleh timbalan ketua yang kini menjadi pemangku ketua.

“Kami belum lagi memilih pengganti untuk hanya satu bahagian,” katanya di majlis perasmian Persidangan Bahagian Bersatu Selangor dan majlis ramah mesra bersama calon pemilihan Bersatu 2020.

Abdul Rashid juga mendakwa tindakan mereka yang keluar dari Bersatu itu juga disebabkan oleh kekalahan dalam pemilihan parti.

Dalam masa yang sama Abdul Rashid mengakui bahawa wujudnya penolakan akar umbi Umno terhadap penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional (MN), namun beliau percaya keadaan itu akan berubah susulan pimpinan tertinggi Umno sudah menyatakan sokongan terhadap langkah itu.

“Sebenarnya memang ada pihak-pihak dari Umno yang tidak setuju dan sebagainya tapi itu segelintir daripada mereka

“Tetapi pada dasarnya pihak kepimpinan Umno memang setuju untuk bersama-sama dengan bersatu di dalam MN,” jelas Rashid lagi.

Minggu lalu Muhyiddin mengumumkan penyertaan Bersatu ke dalam MN bagi membentuk kerjasama di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pilihan raya umum yang akan datang.

Sementara itu, mengulas pembahagian kerusi di kalangan parti-parti di dalam MN, Abdul Rashid berkata perkara itu hanya akan diputuskan selepas kemasukan Bersatu dalam gabungan itu dimuktamadkan.

“Belum lagi (perbincangan agihan kerusi). Kita tunggu pendaftaran MN diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, selepas itu baru kita adakan perbincangan mengenai pengagihan kerusi,” katanya.

 

 

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,790FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini