KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan pihaknya menerima 182 laporan yang dibuat terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang didakwa berhasrat memurtadkan umat Islam dan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Kristian.
“Jumlah keseluruhan laporan adalah sebanyak 182 telah diterima dan sebanyak 59 rakaman percakapan telah direkodkan.
“Keterangan Hannah masih belum diambil,” katanya ringkas dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil membuat laporan polis terhadap Hannah.
Laporan polis dibuat di IPD Dang Wangi dalam usaha mereka menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Hannah Yeoh berjudul ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah difailkan Hannah terhadap Musa berhubung kenyataan pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), empat tahun lalu.
Menerusi saman difailkan pada 3 Julai 2020, beliau mendakwa Musa memberi ucapan pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’ dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai diri beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah menulis buku bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.
Ahli Parlimen Segambut itu dilapor memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap Musa itu.